Jumaat, 31 Mei 2013

DULU-DULU 2

Foto ini bukanlah milik ku. Ia merupakan sesuatu yg aku pungut daripada posts rakan-rakan FB. Namun, aku amat tertarik akan gambar ini. Tentulah ia menceritakan sesuatu yang begitu dekat di hati. Mungkin bagi orang lain, ia memberi gambaran yang berbeza.

Zaman remaja kita dulu-dulu, begitu indah ku kira. Dunia kita begitu aman, tenang, tanpa hasad dengki.

Sekali pun kemiskinan sentiasa menghimpit, namun kita menerima kemiskinan sebagai sesuatu yang terbiasa. Tidak ada keluh kesah, tidak kejang merasa bisa. Tidak ada rintihan mencemar jiwa. Yang ada pada ketika itu hanya santai dan gelak ketawa. Burung-burung adalah kawan, walaupun terkadang menjadi lawan mangsa lastik dan batu kerikil. Pokok kelapa, rambai dan pulasan tempat mencari ketangan atau menonjol kejantanan. Halaman rumah tempat bergusti atau bermain teng-teng sesama sendiri.Terkadang, betapa kita mengimpikan dapat kembali ke zaman itu. Teringin kita bermain air hujan, mandi di sungai dan parit walau tanpa restu. Memanjat pokok, dan terus terjun ke dalam parit dan sungai, tanpa peduli ada pacat atau kayu hanyut. Melecet pada siku atau berdaki pada leher tidak langsung memberi denyut. Ah....

Sekolah adalah tempat menimba ilmu, walaupun terkadang rasa terpaksa itu menghambat nurani. Guru-guru ku, tempat aku meminta nasihat. Tempat mengadu, andai terasa aku dibuli rakan-rakan yang lebih besar daripada ku. Sekolah tempat aku mengenali, rakan-rakan gadis sedarjah. Senyum mereka sering ku bawa pulang, sering ku rindui, namun tak berani aku bercerita apatah lagi mengadu pada ampunya senyuman.

Tanggung jawab ku pada rumah, hanya sesekali, ketika diarah mengangkut air dari perigi atau mencari kayu api untuk dapur ibu ku. Sesekali aku di arah juga menyalakan api pada dapur kayu, dan pastinya aku acap ketemu tahi kucing seketul dua pada lunggukan abu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan