Rabu, 29 Mei 2013

KAMI DULU-DULU

Teringat aku dulu-dulu. Mandi di parit, atau malahan di longkang sekalipun, bukan sesuatu yang asing. Selagi ada air, selagi ada lopak, selagi ada sungai atau parit, pasti aku dan teman-teman menjadi raja. Tanpa resah, tanpa menghirau keributan yang menghantui mak dan ayah Hujan seharian, bukan sesuatu yang bisa menghalang. Dunia kami adalah persekitaran kami. Rumput, lalang, katak, berudu, ikan keli dan puyu, buah rambutan masam, nenas, kelapa muda; semuanya adalah dunia kami.

Pada setiap masa, lastik sentiasa tersangkut di leher. Entah berapa banyak burung yang menjadi mangsa peluru batu kerekel kami. Tak kami hirau, apakah itu berdosa! Atau tiada pula rasa simpati, anak-anak burung itu bakal mati kelaparan.

Ketika musim berangin, umumnya pada bulan-bulan Disember dan Januari, raja langit pasti milik kami. Layang-layang kami gah menjunam ke kiri dan ke kanan. Sama ada kami biarkan meliang liuk mengikut angin, atau menjunam mengejar mangsa dengan hajat memutuskan benang dengan benang kami yang sudah disalut gam bercampur serbuk kaca.

Satu ketika, adik ku pernah bertanya pada nenek ku, "abang tu, asyik main aje. Tak reti nak tolong di rumah!"

Nenek ku menjawab, "dia lelaki, jangan diiri!!"

Begitulah kami dulu-dulu.

Kini, anak-anak hanya mengenali dunia mereka melalui FB, YM, Skype atau Google. Mereka lebih mengenali apa yang berlaku jauh di seberang benua. Namun, apa yang berlaku di sebelah rumah, langsung tak mereka sedari.

Wallahua'alam!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan