Khamis, 5 April 2012

Kerana Suami (Bah 8 : LELAKI MELAYU TERAKHIR)


       Pagi itu, Sasya bersiap sedia untuk keluar bertemu dengan bakal kliennya. Seperti biasa, Sasya akan bersolek sebaik-baiknya. Dari dulu lagi, Sasya percaya, untuk berjaya dalam dunia perniagaannya ini, dia harus menunjukkan keterampilan yang tinggi. Sasya percaya, tahap kesihatannya juga perlu sentiasa tinggi. Untuk itu, Sasya menghabiskan sebahagian dari pendapatannya untuk peralatan solek dan makanan kesihatan. Mudah-mudahan dengan cara itu, bukan saja Sasya dapat mengekalkan kesihatan, tetapi juga kejelitaannya.

        “Sasya, saya rasakan, awak tak  seperti perempuan Melayu yang lain. Sebab itulah saya beri kepercayaan saya pada awak,” Mr. Lim berkata setelah segala urusan tentang pelaborannya diselesaikan.

         “Apa maksud tuan?” Sasya menjawab dalam bahasa Inggeris yang cukup baik.
         “Saya rasa, awak bukan dari gulungan yang konservatif,”
         “Kerana pakaian saya?” Sasya menduga.

     “Ya, itu satu darinya. Tapi  itu bukan yang terpenting. Keterampilan awak hanya sebahagian darinya. Kemampuan berberbahasa Inggeris juga satu kelebihan. Tapi yang paling penting, awak betul-betul tahu tentang produk yang awak jual. Kesungguhan dan keterampilan awak menunjukkan tahap professional yang sangat tinggi.”

       "Saya rasa, ramai jugak wanita Melayu seperti saya, tuan,” Sasya mengangguk sedikit apabila sektretari pengarah itu meletakkan secawan kopi di atas meja kopi disebelah kanan Sasya. Sasya tidak memberitahu padanya, bahawa secara sengaja dia membenam dirinya dalam kerjaya demi masa depan, tapi sama penting untuk menutup ruang emosi yang melulu.

          “Yang penting, mereka perlukan latihan yang cukup tinggi.”

        Selepas pertemuan itu, Sasya beberapa kali ke pejabat pengarah tersebut. Peluang yang diberikannya kepada Sasya cukup banyak. Malah pengarah itu, berjanji akan mengenalkannya kepada rakan-rakan perniagaanya yang lain.

        Perjalanannya petang itu untuk kembali ke rumahnya cukup mendamaikan. Sasya tidak memandu laju. Dia menekan swis radio lalu mencari stesen radio kegemarannya.  Diluar, pemandangan di kiri kanan lebuh raya itu cukup cantik. Kadang-kadang terasa juga Sasya, kalaulah dia berbakat dalam lukisan, akan dilukisnya pemandangan-pemandangan itu.

        Sesekali, keretanya di potong oleh kereta-kereta mewah. Sasya tidak mengambil hirau. Dia tidak mengejar masa. Biarlah seribu kereta memotongnya, Sasya tetap memandu perlahan. Sasya mahu menikmati pemandangan di sekelilingnya. Jari-jarinya terlentik-lentik mengikut irama lagu-lagu Inggeris masa kini.

        Hari itu, Sasya cukup gembira. Usaha-usahanya beberapa bulan kini memberi laba yang cukup lumayan. Bukan itu saja, semalam dia mendapat surat, dari sebuah syarikat pelaboran yang melantiknya menjadi Pegawai Penyelia Agensi.

         Telefon bimbitnya berbunyi. Sasya mendapat pesanan ringkas.  Apabila pasti, jalan raya agak tenang dan sedikit sepi, Sasya membaca pesanan ringkas itu.

          “Hai, macam mana permohonan pelaboran I tu? By the way, semenjak I bertemu dengan you tempoh hari, I dah jatuh cinta pada you, cinta pandang pertama.”

      “Lelaki!” Sasya mendengus. Mudah sangat mereka menagih perasaan, fikirnya lagi. Lelaki itulah yang ditemuinya beberapa hari lalu. Dia merupakan salah seorang yang berpangkat didalam jabatan kerajaan. Kalau tidak silap, lelaki itu yang paling pendiam. Mengikut rekod, dia mempunyai anak seramai 5 orang!

         Sasya tidak memperdulikan pesanan itu. Lelaki seperti itu, tidak layak untuk didampinginya.  Apatah lagi melayani perasaannya itu. Dia memandu terus, seakan pesanan ringkas itu tidak mengganggu perasaannya.

        Sekali lagi telefonnya berbunyi. Pesanan ringkas masuk lagi. Sasya mencapai kembali telefon. Nombor yang tertera menyebabkan dia menggeleng kepalanya. Dari orang yang sama. Sasya membaca pesanan ringkas itu.

“I sanggup mengahwini you, kalau you sudi!”
“Dia ingat aku ni apa?” jerit Sasya. Bibirnya diketap. Sasya menahan kemarahan. Dendamnya selama dua tahun kini terpancul melalui jeritannya. Mujurlah Sasya memandu sendirian. Kalaulah ada yang menumpanginya, pasti penumpang itu akan terperanjat.

Sasya mengurut dadanya perlahan. Dia beristighfar. Nafasnya ditarik perlahan, kemudian dilepaskannya perlahan juga. Setelah agak tenang, Sasya melajukan sedikit keretanya. Kini dia ingin sampai cepat sedikit. Dia ingin mandi puas-puas, ingin mengadap Tuhan yang maha Esa. Ingin mengadu padaNya. Sasya tiada tempat mengadu yang lain melainkan pada Tuhan. Pada Tuhannya itulah, saban hari dia mengadu, tentang anak-anaknya, tentang kerenah pelanggannya, tentang apa juga.

Selepas menunaikan solat Maghrib, Sasya membelek-belek organizernya. Catatan temujanji yang ditulisnya hari ini, disusurinya satu persatu. Otaknya berlegar-legar, memikirkan strategi yang bakal digunakannya untuk berdepan dengan bakal-bakal pelanggan. Selama ini, Sasya telah menanam sikap, setiap kali dia bertemu bakal pelanggan, dia mesti membawa pulang, sekurang-kurangnya jualan satu poftfolionya. Diatas sikapnya itulah, Sasya cepat naik dalam dunia jualan insuran dan produk pelaboran selama ini.

Telefonnya berbunyi. Hayalannya terganggu lagi. Sasya mengerling pada nombor telefon yang tertera pada telefonnya itu. Dia berdesit. Entah apa yang dikehendaki bekas suaminya dia tidak tahu.

“Awak kat mana, dua hari tak  di rumah?”

“Saya keluar cari klien!” Sasya menjawab bersalut debaran.  Setiap kali dia berdepan dengan bekas suaminya itu, Sasya seakan terpukau dek ketakutan. Seolah-olah suara itu membawa petaka keseluruh alam-maya kehidupan Sasya.    “Ini mesti keluar dengan jantan! Entah-entah…”

Belum sempat bekas suaminya menghabiskan kata-kata, Sasya memutuskan talian.  Dia tidak sanggup mendengar cemuhan lelaki yang cukup menakutkannya, seakan dia adalah seekor serigala. Jantungnya berdebar-debar. Bercampur baur diantara ketakutan, kemarahan atau tertekan dek tuntutan perjanjian perceraian. Sasya mengurut dadanya. Rahangnya bertaup rapat. Sasya memandang pintu rumahnya. Apakah pintu itu telah dikunci? Sasya bangun lalu mendekati pintu rumahnya. Selepas pasti, dia lantas menuju pintu belakang. Jantungnya terus bergemuruh. Apakah bekas suaminya ada di luar rumah? Sasya terus masuk bilik lalu mengunci pintu biliknya. Lampu bilik dimatikan. Gelap!

Sasya takut. Takut yang amat sangat. Namun dia lebih memarahi dirinya daripada bekas suaminya. Kenapa dia tidak mempunyai kekuatan, untuk memaki bekas suaminya itu, atau setidak-tidaknya mengherdiknya.  Apa hak bekas suaminya itu untuk bertanya padanya tentang itu dan ini? Apakah lelaki itu tidak puas lagi dengan apa yang terpaksa dikorbankan Sasya dalam bentuk wang ringgit demi mendapatkan kebebasan dan harga diri? Apakah dia tidak puas lagi, mengganyang jiwa raganya, sehingga setelah berpisah selama lebih 2 tahun sekalipun, Sasya masih rasa ketakutan, dendam, dan berbagai perasaan bercampur baur hingga tidak karuan?

Sasya menongkat mukanya. Air matanya berjuraian. Rupa-rupanya ketakutan dan kebenciannya pada bekas suaminya itu memakan hatinya. Sedikit demi sedikit. Akhirnya Sasya tertidur. Tertidur dengan rasa dendam yang tidak mengenali penghujungnya. Tertidur dengan membawa mimpi ngeri bertahun-tahun lamanya.

(Bersambung...)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan