Khamis, 22 Mac 2012

Tidak Akan Bercinta Lagi ( Bah 7 : LELAKI MELAYU TERAKHIR)

“Betul Sasya nak kawin dengan si Agus tu?” Tanya Puan Maznah pada anaknya, lapan tahun yang silam. Satu dari gugusan soalan yang bakal menimpa Sasya, satu demi satu. Semuanya berkisar tentang isu perkahwinan Sasya dengan Agus.

Sasya tidak terus menjawab. Dia memandang ke luar rumah. Bapanya yang duduk mengadap suratkhabar hari itu, seakan tidak mendengar perbualan di antara Sasya dengan ibunya. Begitu juga adiknya. Dia seakan memasang telinga, namun, seperti juga bapanya, sekadar mendengar tanpa mencampuri urusan Sasya dengan ibunya.

Sasya menarik nafas dalam-dalam. Apa lagi yang hendak dikatakannya kepada ibunya? Ketika umurnya yang telah mencecah 30 ini, apakah harus dia menanti lelaki yang lebih baik lagi? Apakah dia harus menanti tahun ke tiga puluh satu? Ke tiga puluh tiga? Ke tiga puluh lapan? Baru mahu mengikat dirinya dalam tali perkahwinan?

Sasya yakin terhadap pilihannya, dia telah pun bertemu dengan bakal ibu mertuanya. Pada pandangannya, keluarga itu molek. Sudah tentulah anaknya baik juga! Bukankah itu yang di ajar agama?

Akhirnya, dengan penuh adat gilang-gemilang, Sasya dinikahkan dengan Agus. Bermulalah kehidupan mereka suami isteri. Sasya bertekad untuk menjadi isteri yang baik. Sekalipun dia masih lagi menjadi seorang yang berkerjaya, namun, tugas rumah tangganya tidak pernah diabaikan. Sasya menyedari, suaminya bukanlah dari golongan yang terpelajar. Bukan juga sebagai seorang yang berkerjaya hebat. Namun dia menerima Agus seadanya. Dengan segala kekuatan dan kelemahan.

Sasya menjeling lagi ke arah gambar anak-anaknya. Sekali lagi dia menarik nafas panjang. Anak-anak itu tidak tahu apa-apa. Mereka mungkin tertanya-tanya, mengapa telah lebih dua tahun ibu bapa mereka tidak tinggal serumah, mengapa mereka tidak berbual, jauh sekali berbual mesra, bila sesekali mereka bertemu. Walaupun begitu, anak-anak Sasya tetap gembira, samada dengan Sasya atau dengan bapa mereka. Lagipun, selama sekitar setahun ini, kehidupan mereka telah begitu selesa, dengan nenek mereka. Apatah lagi, kedua-dua adik Sasya yang berjaya di dalam kerjaya masing-masing itu memanjakan mereka seperti anak-anak mereka sendiri.

Tidak pernah sekalipun Sasya terfikir, suaminya yang dilayan mesra itu, menunjal dahinya, memanggilnya dengan nama yang begitu keji dan hina. Malah, bukan sekali dia dipukul, ditampar oleh suaminya hanya kerana kesalahan yang kecil.

Tidak ada seorang pun dalam dunia ini yang inginkan perkahwinan mereka retak, dan akhirnya menjadi pinggan yang hancur berkecai bila gugur ke lantai. Tidak! Dan begitu juga Sasya. Tidak pernah sekali pun dia terfikir bahawa pengorbanannya selama ini, dihenyak-henyak oleh suaminya seperti pengalas kaki yang telah lusuh.

Sekalipun perpisahan Sasya dengan suaminya telah berlalu, namun sesekali dia mengeluarkan air mata bila merasakan kepedihan silam itu merayap masuk ke dalam benaknya ketika mahu tidur. Manakan tidak, Sasya tidak terfikir ada suami yang sanggup membiarkan isterinya memandu pada waktu tengah malam, dalam keadaan yang sangat sarat hamil melalui perjalanan yang jauh di pendalaman. Mana mungkin ada suami seperti itu? Tapi itulah hakikatnya yang berlaku pada Sasya. Demi memperjuangkan kehidupan mereka sekeluarga, Sasya sanggup keluar dan pulang lewat malam, hanya semata-mata untuk mengukuhkan kedudukan kewangan keluarga. Di mana suaminya ketika itu? Sekadar menonton tv dan akhirnya tidur!

Perlahan-lahan air mata Sasya turun membasahi pipi lalu meresap pada bantal. Marahnya pada dunia, pada bekas suaminya masih belum habis. Pada ketika itu, hampir saja dia bersumpah, tidak akan jatuh cinta lagi. Hampir saja Sasya membuat keputusan, dia tidak mahu lagi mempercayai lelaki. Dia tidak mahu lagi mempergalaskan masa depannya dan anak-anaknya pada bahu seorang yang bernama lelaki.

(Bersambung...)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan