Sabtu, 3 Mac 2012

Pertemuan ( Bah 1 : LELAKI MELAYU TERAKHIR)

Lampu jalan baru mulai menyala. Pekerja kopitiam ‘Chawan’ berhadapan dengan kompleks membeli belah sekitar Bangsar itu, keluar masuk menghantar tempahan. Masa untuk berbual sesama sendiri, amat terhad ketika itu. Pelanggan-pelanggan dari golongan menengah yang rata-rata tinggal di sekitar Bangsar itu, harus dilayani sebaik mungkin. Boss telah bilang, kalau ada pelangan yang mengadu hal, bonos tahunan akan ditolak mengikut kadar yang telah ditetapkan.

Dia berehat sebentar sambil menyapu pandang pelanggan-pelanggannya, kalau-kalau ada yang mengangkat tangan untuk meminta sesuatu. Bualan dan ketawa daripada kalangan pelangan sesekali, hampir menenggelami lagu-lagu instrumental pilihan hari itu.

Dua orang wanita baru saja memasuki kopitiam itu lalu mengambil tempat di meja nombor 15. Razif terus menuju ke arah wanita-wanita itu.

“Boleh saya bantu kak?” tanya Razif. Dua keping menu diagehkannya kepada mereka.

Kedua-dua wanita itu duduk lalu melemparkan senyuman kepadanya. Menu itu dibuka lalu mereka perhatikan satu persatu isi kandungannya. Razif sekadar memerhatikan mereka. Kedua-dua mereka nampak benar, orang Kuala Lumpur. Orang bandaraya yang serba canggeh. Seorang, berpakaian pejabat. Serba gelap dengan blaus hitam dan bunga-bunga merah. Cukup anggun. Rambutnya panjang lurus sekadar sampai separuh belakang. Dia memakai bangle pada sebelah tangan kanannya. Berkilau-kilau dipanah cahaya lampu neon; seakan bertatah berlian gamaknya!

Seorang lagi, dikiranya, cukup bergaya dengan pakaian yang moden. Baju dalam berwarna putih yang menampakkan sedikit bahagian atas dada. Baju blaus yang dipakainya di atas baju dalam itu, mempastikan dia tidak kelihatan terlalu berani. Rambutnya perang hitam. Cukup bergaya! Berbanding dengan rakannya itu, dia agak lebih sederhana dari segi asesori. Sekadar memakai anting-anting jenis ‘tingling’ dan gelang berwarna perak.

Setelah mengambil tempahan, Razif terus ke belakang. Sekitar 10 minit kemudian dia datang kembali. Razif menghantar tempahan laksa, mee soup serta minuman masing-masing.

“I tak percaya pada lelaki Melayu!” kata wanita pejabat itu kepada rakannya, yang berambut blonde. Walaupun kata-kata itu padat dengan tuduhan, namun wajahnya cukup bersahaja. Seolah-olah dia telah lama menanam keyakinan akan erti dan implikasi kata-katanya itu.

Satu topik yang hebat. Kalau boleh Razif hendak mendengarnya. Dia ingin mempelajari, pandagan wanita golongan menengah itu terhadap makhluk yang dinamakan lelaki.

“Memang! I percaya, cuma 1 dari sepuluh lelaki boleh dipercayai. Yang boleh diharap.” Rakannya yang berambut Blonde menjawab. Menyokong, malah menambah tuduhan.

Mereka terus berbual sambil makan. Patah-patah perkataan mereka bercampur antara bahasa Inggeris dan Melayu. Cara mereka makan cukup teratur. Cukup berhemah. Malah cara mereka duduk pun, cukup menggambarkan dua wanita Melayu yang terlatih dengan tata susila berkeperbadian tinggi. Yakin pada diri sendiri. Mungkin inilah agaknya, contoh Wanita Melayu Baru.

Razif teringatkan pada tunangnya, Ain. Dia sekadar pembantu pelanggan di kedai 7-eleven. Apakah suatu hari nanti, Ain akan menjadi seperti wanita-wanita ini? Apakah kelak, Ain jugak berpandangan seperti mereka, merasakan hanya terlalu sedikit lelaki Melayu yang boleh diharap? Boleh dipercayai?

Razif terus keluar masuk, sambil cuba menangkap patah bicara ke dua-dua wanita angun dan moden itu. Moga-moga, dia tidak menjadi sebahagian besar dari lelaki Melayu seperti yang diperkatakan itu. Moga-moga, dia dapat menyalurkan kepada Ain akan iktibar dari isi bicara ke dua-dua mereka itu.

(Bersambung...)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan