Sabtu, 3 Mac 2012

Nakal Ketika 40? (Bah 3 : LELAKI MELAYU TERAKHIR)

“Dilaporkan dalam akhbar, lelaki menjadi nakal ketika umurnya mencecah 40, manakala wanita menjadi lebih matang pada umur yang sama. Anda setuju?” soal DJ radio KLFM.

Zura terus memandu mengikut aliran trafik. Wiper cermin, sekejap dihidupkannya, sekejap dimatikan. Hari ini, macam-macam yang tak kena. Pengarah Urusannya masih juga tidak melakukan jualan, walaupun perancangan pemasaran telah dibuatnya dengan begitu teliti. Semenjak tiga empat bulan kebelakangan ini, dia hampir tidak melihat jualan dibuat. Tak tahulah, berapa lama lagi syarikat ini akan bertahan. Pelaborannya dalam saham-saham yang tersenarai di BSKL, turun naik. Setakat ini, dia masih lagi belum mengaut keuntungan yang membanggakan. Masanya dipenuhi dengan tugasanya sehinggakan dia tidak terdaya untuk mengikuti perkembangan pasaran.

“Dasar lelaki!” rungutnya. Steering kereta dihentak sekali. Cukup kuat, sehinggakan terasa sedikit sakitnya. Kesesakan jalan cukup merimaskannya. Mengapa kerja-kerja pembaikan jalan ini tidak disiapkan dalam sehari? Atau mungkin sejam atau sesaat? Titisan air hujan, melorot turun di atas permukaan cermin keretanya. Laluan dari Ampang, di mana ibunya tinggal, cukup sendat petang ini.

Memang! Itulah yang dirasakannya selama ni. Dia semakin matang, namun setiap lelaki di hadapan matanya menjadi semakin nakal. Malah, dia yakin labih dari itu, ada di antara mereka menjadi semakin liar sebenarnya.

Hujan terus merimbas, membasahi jalan dan tanah-tanah merah yang berlungguk di gigi jalan. Akhirnya, lecak pekat berwarna kuning kemerah-merahan itu, akan menyebabkan kereta-kereta; keretanya juga kotor.

Semenjak dia bertemu Syasya, hatinya terus menggerutu. Bukan kerana Syasya telah menyakiti hatinya. Bukan juga kerana dia rasakan bahawa, Syasya kini lebih bahagia, lebih ceria, tapi kerana semenjak mereka bertemu di kopitiam ‘Chawan’ itu, kesepiannya semakin terasa. Selama ini, kesepian itu dinyahkannya saja ketepi. Mungkin lebih baik dia benamkan dirinya dalam kerjaya daripada mendekati lelaki-lelaki yang bersikap seperti kucing. Seperti ayam jantan. Seperti dubuk.

Memang dia sunyi. Sekalipun dia mempunyai seorang rakan lelaki yang agak rapat juga, namun dia tidak terlalu memujainya. Apatah lagi mengharap. Dia takut dengan cinta. Cinta telah menggigitnya satu ketika dulu. Cinta telah merenyuk hatinya, sehingga terkadang dia lupa, rupa-rupanya dia masih juga ada sekeping hati.

Bunyi hon motorsikal, kuat di sebelah kanannya. Zura terhayal sedikit rupanya. Dia memutar kekanan tanpa menghidupkan lampu isyarat. Dia menjeling ke sebelah kanan. Seorang lelaki yang sedang memandu sebuah motorsikal besar, menunjukkan isyarat lucah kepadanya. Jantung Zura berdebar kencang; antara marah dan takut. Apakah lelaki itu tidak menyedari bahawa dia seorang wanita? Atau sememangnya dia tidak peduli, wanita atau lelaki, kalau dianggapnya salah, maka isyarat lucahlah habuannya?

Hari itu, ketika dia berbual-bual dengan Syasya dan Azizi, persoalan lelaki-lelaki, banyak dibincangkan mereka. Ternyata Azizi tidak banyak memberi pandangan. Dia sekadar tersenyum dan mengangguk-angguk. Zura pasti, malah dia yakin, Syasya juga pasti bahawa Azizi tidak mempunyai hujah yang kuat untuk membantah. Mana mungkin dia membantah sedangkan statistik dalam negara sendiri, cukup memberikan gambaran yang mengerikan? Lihat saja di universiti, pelajar wanita lebih ramai dari lelaki. Pencampaian dalam akademik juga memberi gambaran yang sama. Kerosakan akhlak lebih menjurus kepada keberengsekan lelaki. Malah, kalau dilihat perangai anak-anak di rumah; kebanyakannya anak-anak gadis lebih bertangung-jawab dari anak-anak lelaki.

Apakah itu bukan statistik yang cukup untuk dibuat kesimpulan yang baik dan objektif? Apakah masih lagi orang-orang seperti dia, dan juga Syasya dipersalahkan kalau mereka masih membujang sampai umur hampir mencecah 40’an? Salahkah dia kalau menolak pujuk rayu lelaki agar kononnya memberi peluang kepada meraka untuk menjenguk kamar kosong yang ada disebalik tubuh mungil dan anggun itu?

Hujan pada petang itu terus juga membasahi jalan, padang, rumah, kereta dan apa juga yang boleh ditimpanya. Rumah ibunya masih lagi jauh. Kesesakan jalan raya masih juga merimaskan. Namun, kerimasan itu, tidak serimas apa yang sedang dirasainya ketika itu. Dia yakin, pada ketika itu, hanya katak-katak yang menghuni parit dan longkang saja yang merasa ria.

(Bersambung...)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan