Jumaat, 9 Mac 2012

BURUNG



Aku sedang menunggu pejabatku dibuka. Kereta yang lalu lalang di belakang ku masih lagi menyalakan lampu. Tiada masaalah untuk ku mendapat tempat letak kereta. Betul-betul berhadapan dengan kedai haiwan peliharaan di bawah pejabat baru ku. Pemilik kedai itu masih lagi dengan kerja-kerjanya, memberi makanan kepada binatang-binatang yang didaganginya. Sesekali dia menjelingku. Agaknya, dia tertanya-tanya, apa yang aku lakukan di dalam kereta. Aku sekadar mengangkat muka dan senyum sedikit, memberi petanda bahawa aku menyedari akan kehadiran dan ketuanannya di situ. Dia mengangguk juga. Tanpa senyum. Lantas terus melakukan kerja-kerjanya, yang telah dilakukannya saban hari mungkin selama berbelas tahun agaknya!

Aku terus meneliti e mail ku. Namun, tiada sebarang e mail yang ku terima dari orang-orang yang ku harapkan. Berdecit sedikit! Mengapa masih belum ada lagi? Fikir ku.

Pemilik kedai itu masih juga dengan kerjanya sambil duduk bercangkung. Sesekali aku hampir ternampak isi kandungan seluar pendeknya, bila dia betul-betul mengadap ku. Aku tersenyum sendirian. Gelihati, mungkin sedikit mengharap untuk memandang akan anu miliknya. Nanti dapatlah aku bercerita kepada anak-anak ku tentang panorama lucu ini.

Aku termenung sebentar. Memandang burung-berung serindit dan kakak tua yang sudah mulai aktif itu. Dari kereta ku, tampak jelas, haiwan-haiwan itu agak sihat. Masing-masing tidak menyedari, bahawa, entah esok atau lusa, mereka akan berpindah kediaman. Menjadi haiwan belaan tuannya yang baru. Aku yakin, apabila burung-burung itu sudah mulai tua, kasih sayang yang diberikan kepadanya mungkin akan berkurangan. Dan ketika itu, jadilah ia haiwan yang tidak terpelihara, terpenjara tanpa daya untuk berusaha demi kehidupan.

Teringat aku akan abang ipar ku di kampong. Dia cukup menggemari akan siulan merdu burung terkukur. Sangkeng minatnya itu, dia membela berpuluh-puluh ekor di sekeliling rumahnya. Saban pagi, aku akan dingatkan oleh burung-burung itu agar bangun dan bersolat subuh.

Teringat juga aku, pada falsafah dan ajaran ibuku. Katanya, jangan kita membela burung dan disangkar macam dalam penjara, nanti mati, kita tidak diterima kubur selagi burung-burung itu tidak dilepaskan. Dek terpengaruh oleh ajaran itulah, aku tidak pernah melayan permintaan anak gadis ku untuk membela burung sebagai haiwan peliharaan. Sekalipun telah ditawarkan oleh abang iparku itu.

Tauke Cina itu, bangun lalu membetulkan pinggangnya. Mukanya sedikit berkeriut menahan sakit pinggangnya. Dia memandangku lagi. Pantas aku meneliti jam di tangan kiri. Kerani di pejabat ku, sedang membuka grill untuk memasuki pejabat. Sudah sampai masanya aku mengikuti jejak tauke Cina itu, memulai hari ini dengan langkah mencari rezeki.

Bismillah…..

Karya : Halil Ali (2009)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan