Ahad, 11 Mac 2012

GALAU (sambungan 2)

1997. Lebih tepat lagi, bulan September, 1997. Bulan celaka bagi Syed Jamaludin. Ekonomi Malaysia mengikuti beberapa ekonomi negara di Asia Tenggara, merudum runtuh ibarat susunan domino. Pasaran saham jatuh sehingga paras terendah selama lebih 15 tahun. Dia ingat lagi, penanda aras indeks komposit KLSE 1200 mata, jatuh sehingga tahap terendah 800.

Syed Jamaludin tidak terdaya berbuat apa-apa. Remisernya terlalu sibuk sehiggakan tidak memberikannya nasihat yang sepatutnya. Akhirnya Syed Jamaludin karam. Karam seperti juga ramai pemain-pemain saham yang lain. Dia hampir menjadi gila. Modal yang terkumpul hampir satu juta setengah ringgit, hilang begitu saja. Hutangnya di bank bersusun, seakan dari lantai hingga ke bumbung rumahnya. Kadar faedah yang naik tinggi menyebabkan dia terpaksa membayar melebihi dari apa yang termampu ditanggung oleh gajinya. Akhirnya, habis harta-harta yang terkumpul terjual untuk membiayai hutang piutangnya. Hilang tanah berekar-ekar, rumah dua buah termasuk rumah tempat tinggalnya anak beranak kini menjadi milik orang. Barang-barang kemas yang dikumpul isterinya selama ini, habis tergadai sebagai galang ganti hutang dan menyara hidup mereka anak beranak. Kini, tidak seurat benang pun berbaki. tidak cukup lagi, bala yang menimpanya, isterinya mengidap penyakit kemurungan, kerana tidak tahan lagi menanggung sengsara.

Syed Jamaludin tidak pernah dalam jangkauan pemikirannya, terfikir bahawa satu hari nanti, dia harus berdepan dengan keadaanya sekarang. Dia lupa akan ajaran agama, agar beringat; sementara kaya sebelum miskin. Kerana kelalaiannya itulah, hidupnya yang ketika itu sebagai raja, kini tidak lebih dari orang-orang biasa yang selama ini dianggapnya sebagai cukup menjengkilkan.

Kehidupannya lintang pukang sejak 6 bulan pertama selepas keruntuhan ekonomi negara. Bank menelefonnya hampir saban hari. Kalau tidak kerana kad kredit, kerana tunggakan hutang kereta. Kalau tidak pun, hutang rumah. Penyudahnya, hutangnya pada bank kerana pinjaman belian tanah pun dituntut. Gajinya tidak mencukupi. Akhirnya, Syed Jamaludin nekad menggunakan kedudukannya untuk mencuri hasil syarikat di tempat dia bekerja. Namun kerja-kerjanya itu tidak dapat bertahan lama. Syarikat menyedari akan perkara itu. Syed Jamaludin diberi kata dua, berdepan dengan mahkamah atau berhenti secara terhormat.

Sudah tujuh bulan dia begini. Kehulu-kehilir hanya dengan menaiki bas. Untuk mencari rezeki, dia akan menggunakan basikal. Keluar seawal subuh dan pulang selepas maghrib. Syed Jamaludin menerima cara hidupnya ini, sebagai sebahagian dari proses penyucian hatinya.

Bas itu terus bergerak pada laluannya. Perlahan tapi pasti. Sekitar lebih kurang tiga puluh minit lagi nanti, bas itu akan sampai ke stasion akhirnya. Namun perjalanan Syed Jamaludin tidak tamat lagi. Dia harus mengambil bas lain pula untuk ke pejabat DBP.

Syed Jamaludin menggeleng kepalanya perlahan. Dia tunduk. Apakah dosanya kepada isteri dan anak-anaknya selama ini akan terhapus? Dia terasa, sekalipun dia hidup seribu tahun lagi, dosanya tidak akan terluak. Dari awal lagi, dia pasrah. Sesungguhnya apa yang dihadapinya selama setahun dua ini, adalah natijah dari perbuatannya sendiri. Cuma, dia kesal, sekesal-kesalnya. Mengapa dosa dan segala kekejian yang dilakukannya selama ini, isteri dan anak-anaknya yang akhirnya menanggung? Selalu sangat Syed Jamaludin bermunajat kepada Tuhan. Dia lebih rela tidur di bawah jembatan, daripada terus-terusan melihat anak bininya sengsara tinggal di sebuah rumah setinggan yang sangat sempit lagi daif. Kalau itulah syarat yang ditentukan oleh Tuhan Rabbul Jalil untuk melepaskan mereka dari rahang kesengsaraan ini.

Syed Jamaludin baru saja selesai bersembahyang Isya’, setelah pulang dari kerja-kerja mencari sisa besi di tempat runtuhan kilang lama di Pasir Gudang. Betisnya terasa begitu sengal dan berbisa. Dia mencapai minyak panas di bawah almari buruk tempat pakaian sekolah anak-anaknya. Isi botol itu hanya berbaki sedikit. Esok lusa, habislah isinya. Syed Jamaludin tidak tahu, apakah dia termampu membeli sebotol lagi. Isi botol itu dituangnya ke atas tapak tangannya. Dia cukup berhati-hati agar minyak panas itu tidak terkena luka pada jari kelingking yang terkena paku petang tadi.

Petang tadi, rezekinya tidaklah sebaik mana. Sepagian dia mengorek dan mengutip dicelah-celah runtuhan batubata. Setakat itu, pungutannya hanya mencecah tidak sampai 50 kg.

“Bang, kenapa tak makan?” pemungut sisa besi di sebelahnya menegur.

Syed Jamaludin tunduk. Dia malu hendak menjawab soalan Kasim, seorang penagih dadah tegar yang kini menjadi kawan sepencariannya. Dia mencapai botol air mineral, membuka penutupnya lalu minum perlahan. Air teh tanpa gula itu harus dijimatkan sehingga ke awal malam nanti.

“Hidup kita ni miskin bang, saya dah jenuh merasa kelaparan. Malah, hampir tiap-tiap hari saya berlapar. Kalau tidak siang, pastinya waktu malam!”

Dulu aku tidak pernah merasa berlapar begini. Bisik hati Syed Jamaludin. Kalau dia berlapar pun, itu kerana dia berpuasa ketika zaman mudanya. Ketika dia mulai lupa diri, bulan Ramadan sudah dilupakannya sama sekali.

Syed Jamaludin mengerling tangan Kasim. Kasim menghulur padanya dua keping biskut kering. “Tak apalah, aku tak lapar.” Dia menelan air liurnya.

“Mana boleh tak lapar, bang. Dari pagi tadi saya perhatikan, abang sekadar makan dua ulas ubi rebus?”

Syed Jamaludin membetulkan duduknya pada tunggul batu di bawah pokok ceri. dia memerhatikan lunggukan besi yang telah dipungutnya. Petang nanti, Seng Chai akan datang membeli besi-besi itu. Kalau pun dia harus membawa pulang, dia akan membawa pulang baki-baki cariannya menjelang jam 8 malam nanti.

“Ambillah bang. Aku ikhlas!”

Syed Jamaludin merenung wajah lusuh milik Kasim. Lelaki itu jauh lebih muda darinya. Namun, dek penangan dadah, wajah itu telah lama kehilangan serinya. Badannya kurus. Yang tinggal hanya sedikit daging menyaluti tulang-tulangnya. Entah berapa lama sangat lagi tubuh itu hidup, hanya Tuhan yang mengetahui. Tapi hatinya bersih. Dadah dan makan minumnya, ditanggung melalui kerja-kerja mencari sisa besi dan bahan kitar semula. Tidak pernah dia terlibat dengan kerja-kerja pecah rumah atau mencuri.

“Terima kasih,” Syed Jamaludin mencapai biskut kering itu lalu disuanya kemulut. Perlahan-lahan, Syed Jamaludin mengunyah agar setiap kalori yang ada pada biskut itu, menyelinap masuk pada setiap saluran darah dalam tubuhnya, besar atau kecil.

Tangisan anak kecil di belakangnya mengganggu Syed Jamaludin ketika dia melewati kehidupannya sehari-harian kini. Bas berjalan terhangguk-hangguk dek gangguan lalu lintas. Syed Jamaludin menoleh kebelakangnya. Siibu sibuk memujuk anaknya. Wajahnya yang jernih itu seakan hanya berhadapan dengan masalahnya seketika itu. Seakan, dalam dunia kehidupannya yang lain, dia tenang, aman. Tidak mempunyai masalah dengan suami, atau anak. Tidak punya masalah untuk menjelaskan bil api dan air.

“Abah, cikgu nak duit untuk bayar aktiviti kurikulum. Cuma RM5.50 saja,” bisik anaknya yang sulung kepadanya pada suatu malam beberapa minggu yang lalu. Tisya seakan-akan menyedari, permintaannya itu bakal berakhir dengan kekecewaan juga. Mukanya ditundukkan ke lantai.

Cara permintaan itu diajukan kepadanya cukup memilukan hati Syed Jamaludin. Matanya mulai tergenang. Dia memberi isyarat agar anak gadisnya itu mendekatinya. Sambil mengusap rambut anaknya itu, Syed Jamaludin berbisik, “pergi ambil duit dalam saku seluar kerja abah tu. Ambil secukupnya, ya nak?”

Syed Jamaludin mengeluh. Duit di dalam sakunya itu hanya cukup untuk makan anak bininya untuk sehari. Besi yang dipungutnya tidak memberikan pulangan yang secukupnya. Kini, bininya juga harus berlapar. Dia sendiri, telah terbiasa berlapar. Tapi dia tidak peduli akan itu semua. Dia tahu, bininya juga telah terbiasa begitu. Yang penting, keperluan anaknya itu perlu dipenuhi. Sekurang-kurangnya buat kali ini, setelah banyak kali sangat dia tidak dapat memenuhinya.

Setelah berdoa panjang pada Tuhan agar, ditamatkan ujian kepadanya, kepada isteri dan anak-anaknya, Syed Jamaludin memberi isyarat kepada isterinya agar mendekatinya.

“Awak sihat saja hari ni, Syimah? Makan hari ni?”

Syimah mengangguk lemah, “Insya-Allah, sihat bang. Pagi dan tengahari tadi makan. Makan keledek rebus yang abang bawak balik semalam. Cuma makan ubat tu… asyik mengantuk saja!”

Syed Jamaludin angguk-angguk. Penyakit kemurungannya sudah mulai menunjukkan sedikit berkurangan, walaupun masih jelas ditanggungnya lagi.

“Tak apalah, pergilah tidur awal. Biarlah saya yang layan anak-anak.”

“Abang sajalah tidur. Dah penat sangatlah tu, seharian bekerja!”

“Tak apalah Syimah, awak yang perlukan tidur. Saya masih boleh bertahan.”

Syed Jamaludin terasa, baru kini dia mengenali hati budi isterinya. Bukannya selama ini Syima tidak pernah menunjukkan kasih sayang. Cuma dia saja yang buta dan tuli. Kini barulah disedarinya, ketika dia dalam keadaan begini daif, isterinyalah yang tabah membantunya. Sekalipun kederatnya telah runtuh dek penyakit kemurungannya itu. Semenjak dia mengidapi penyakit itu, hanya semangat dan rasa kasih sayangnya kepada Syed Jamaludin serta anak-anaknya yang memberinya tenaga untuk melakukan kerja-kerja rumah. Selebih dari itu, dia hanya seakan jasad tanpa nyawa. Jangankan hendak berkerja, sekadar hendak membasuh pinggan mangkuk pun dia tidak terdaya.

(Bersambung...)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan