Ahad, 18 Mac 2012

Dosa Syasa ( Bah 6 : LELAKI MELAYU TERAKHIR)

Malam itu hujan tidaklah turun terlalu lebt. Tidak ada kilat sabung menyabung. Tidak ada guntur membelah bumi. Katak-katak pun tidaklah riuh rendah membingit suasana. Memandangkan cuaca yang tidak begitu elok, maka, kebanyakan orang-orang Taman Putra tidak keluar rumah. Masing-masing sekadar bersantai dengan anak dan isteri. Mungkin juga dengan rakan-rakan sebaya. Masing-masing dengan dunia yang mereka cipta, yang sekadar terpisah diantara dinding-dinding konkrit kawasan perumahan sederhana.

Rumah bernombor 3376 itu juga ditimpa hujan. Seperti juga rumah-rumah lain. Walaupun pada kebiasaannya keadaan seperti itu menambah lagi kesuraman penghuni di dalamnya, namun bagi penghuni di rumah itu, rintisan air hujan, berselang-seli dengan angin yang berhembus, membuka ruang kepada akal mencambah kematangan. Ketika orang lain terpenjara dalam kedinginan dan kebosanan, penghuni di rumah itu, mendapat ketenangan di celah-celah bunyi … tap…tap….tap… dek timpaan titis-titis hujan pada awning berdepan dengan tingkap hadapan rumah teres itu.

Muzik yang terpancar melalui ear phone itu cukup menghiburnya. Kepalanya diteleng ke kiri, diteleng ke kanan, mengikut alunan rentak evegreen dan yang terkini. Jari-jarinya diketuk-ketuk pada permukaan meja komputer, sesuai dengan irama lagu-lagu tersebut. Sesekali dia menaip, membalas chat yang diterimanya dari kenalan yang baru dikenalinya. Sasya sekadar melayan acuh tak acuh tetamu-tetamu dalam dunia sibernya. Sesekali hatinya terganggu dek bahasa yang diguna oleh tetamu-tetamu siber itu. Kadang-kadang dia pantas saja menutup ruang kepada mereka, agar mereka tidak lagi mengganggunya. Setakat ini, dia belum lagi mahu mengikat dirinya dengan mana-mana tetamunya itu. Apatah lagi kalau mereka cuba untuk menggodanya. Atau, mereka melayaninya seperti anak-anak muda hingusan yang baru pandai berjalan jatuh di dalam dunia yang serba membingungkan ini.

Sesekali Sasya mengerling pada meja tulisnya. Dia teringat akan kliennya yang menuntut agar dia menyediakan proposal yang lebih murah. Lebih sesuai dengan tahap kemampuan ekonominya. Sasya akur. Sudah sememangnya itulah asam garam dalam kerjayanya. Sasya melontarkan pula pandangannya pada dinding di sebelah kirinya. Pada gambar anak-anaknya yang kini dijaga ibunya. Tatkala itu, dia terlupa tentang pesanan ringkas yang bertalu-talu masuk. Dia juga terlupa pada kliennya yang menuntut itu dan ini.

Gambar itu dipandangnya lama-lama. Dia bangun lalu merapati dinding itu. Gambar lukisan minyak itu di turunkan dari dinding lalu dia menelitinya. Jari-jarinya yang halus itu, meraba-raba wajah dua orang gadis, seorang berumur 7 tahun dan seorang lagi sekitar 4 tahun. Anak-anak itu masih tidak mengerti akan dunia ibunya. Tentang kebuasan manusia yang mahu meratah kederatnya kalaulah dia tidak berhati-hati dalam pergaulannya.

“Sabarlah sayang. Mama nak kerja kuat-kuat. Nak cari duit banyak-banyak. Supaya masa depan kita cerah!” bisik Sasya. Tergenang sedikit matanya. Gambar itu digantungnya semula. Sasya tidak terus kembali ke meja komputernya. Dia masih lagi merenung panjang akan gambar anak-anaknya. Pesanan ringkas yang masuk itu tidak dipedulikannya. Begitu juga dokumen untuk kilennya itu. Sasya seperti tiada selera untuk membeleknya. Titik-titik hujan di luar kini semakin berjarak, semakin perlahan. Yang masih liat untuk mengundur diri hanyalah pengunjung bilik sembangnya yang mahukan layanan Sasya sedangkan Sasya sudah tidak berselera untuk meladeni mereka.

Wajah ibunya sesekali menerjah ke dalam mindanya. Wajah tua itu, memberi gambaran kekuatan, hasil dari perhubungannya dengan arwah ayahnya selama berpuluh tahun. Namun sesekali, Sasya terasa juga seakan dia diketepikan. Mentang-mentanglah, dia hidup sendirian, sedangkan adik-adiknya yang lain bukan saja berjaya dalam kerjaya masing-masing, malah mempunyai keluarga yang bahagia dan senang-senang belaka. Nafasnya ditarik dalam-dalam. matanya terkedip-kedip. Seakan ada sejalur air yang mahu keluar dari kelopak mata.

Sebentar kemudian, telefon bimbitnya berbunyi. Telefon itu dicapainya. Sasya menggeleng-geleng kepalanya. Sekali lagi lelaki itu menelefonnya setelah kesekian kalinya dia menolak pelawaannya untuk keluar bersama. Lelaki itu seakan tidak memahami kiasan Sasya. Malah, sudah sekali dua, Sasya tidak lagi berkias, dia memberi sebab dan alasan. Masih juga lelaki itu tidak memahami.

Mengapa terlalu ramai lelaki yang mahu merapatinya? Malah, kadang-kadang dia tergamam, apabila ada di antara lelaki-lelaki itu yang begitu berani mengajaknya bermalam bersama. Sasya hairan, begitu murah mereka meletakkan harga kepada dirinya. Dia tidak pernah melayan mereka melebihi dari sepatutnya. Tetapi apabila mereka menyedari bahawa dia seorang ibu tunggal, pantas benar mereka cuba merapatinya.

Memang Sasya keliru. Minggu lalu, salah seorang dari bakal pelanggannya menghantar pesanan ringkas, memberitahunya bahawa dia ingin bertemu Sasya di Kuala Lumpur. Katanya lagi, dia akan menempah bilik hotel yang baik untuk mereka bermalam bersama. Apalah nak jadi dengan lelaki-lelaki ini semua, fikir Sasya. Apakah dia harus menggadai maruah demi mendapat kejayaan? Apakah ini dia lelaki Melayu sejati, yang menjadi khalifah kepada sebuah rumah tangga?

Dunia Sasya adalah dunia yang cukup mencabar kewibawaannya sebagai saorang wanita. Sekurang-kurang itulah yang dipercayainya. Dalam dia melayari kehidupannya sebagai seorang konsultan pelaboran, cabaran demi cabaran dihadapinya saban hari. Bukan sekadar yang melibatkan profesinya, malah lebih dari itu. sehinggakan soal-soal peribadi, soal statusnya sebagai ibu tunggal juga menjadi isu di dalam kerjayanya ini.

Seingat Sasya, bukan sekali dia kehilangan potensi jualan, apabila isteri bakal klien-kliennya menyedari bahawa suami mereka sedang berurusan dengan Sasya, seorang ibu tunggal. Ibu tunggal! Agaknya itu satu status yang penuh dengan dosa. Mungkin juga sebuah dunia yang diwarnai noda tanpa pahala!

Sasya hairan, apa yang ditakuti mereka terhadapnya? Apakah mereka takut, suami mereka akan jatuh cinta pada Sasya? Persoalannya, kenapa pula suami mereka menyukainya? Sasya seorang yang professional. Dia tidak pernah meletakkan emosi dan kepentingan peribadi di dalam kerjayanya. Haruskah dia dicap sebagai seorang yang secara sengaja ingin merampas suami orang? Tidak sekali pun terpancar di dalam perbuatan dan tindak lakunya yang dia ingin bercinta dengan suami orang. Tidak sama sekali! Dari awal dulu pun dia begitu. Sasya dapat memahami isteri-isteri orang, kerana dia juga satu ketika dulu menjadi isteri orang. Betapa dia tidak suka, malah benci, kalau hendak dimadu, begitulah juga isteri-isteri orang yang dikenalinya. Sasya faham. Jangan ada wanita, samada isteri atau anak dara yang menuduhnya berhasrat menjadi perampas.

Tapi hakikatnya, itulah dugaan yang dihadapinya. Bukan seorang, malah hampir semua lelaki yang dikenalinya, adalah lebih tua daripadanya dan telah pun mempunyai anak bini. Namun, apabila mereka mengetahui latar belakang Sasya, mereka berusaha untuk merapatinya. Masih juga kononnya jatuh cinta pandang pertama. Lelaki, memang cukup mencelarukan.

(Bersambung...)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan