Ahad, 4 Mac 2012

Mimpi Zura ( Bah 4 : LELAKI MELAYU TERAKHIR)

<!--[if gte mso 9]> Normal 0 false false false EN-US X-NONE X-NONE

Datin Asmah masih dalam telekongnya. Jari tunjuk dan ibu jari kanannya bergabung tenaga, memetik tasbih. Istighfarnya panjang. Wiridnya lama. Itu saja kecintaannya. Sekalipun tidak lagi berkungsi bantal, berkungsi udara, dan kepanasan cinta suaminya telah lama meninggalkannya. Sesungguhnya kasihnya yang telah terputus dek hayat memisahkan mereka berdua, namun Tuhan kini menjadi arah kasihnya, tanpa berbelah bagi. Cuma satu lagi yang tersengkang di halkum hatinya. Anak perempuannya yang satu-satu ini, masih tidak memberi satu yang paling diimpikannya. Maka semakin panjang doa-doanya demi anaknya itu.

Sesekali Datin Asmah mengerling pada Zura yang duduk berhimpit kepadanya. Dia masih asyik menonton TV. Itu saja yang dilakukannya pada hujung minggu ketika dia menziarahinya. Pada hari-hari lain, dia hanya mengenali dunia pekerjaan. Saban hari, rumah kondo ratusan ribu ringgit itu, hanya dijenguk ketika wajah isyak mulai menjelang. Justru, waktu-waktu santai begini, cukup bernilai kepadanya, sekalipun, Datin Asmah percaya, otaknya bukan juga lapang sepenuhnya.

“Zura,” sapa Datin Asmah pada anaknya. Jarinya terhenti sebentar memetik tasbih. Perhatian Datin Asmah tertumpu pada Zura. Rambut Zura yang panjang itu diusapnya. Seakan anak itu masih sunti lagaknya.

Zura tidak menyahut. Rancangan dalam Astro Itu, cukup mengikat perhatiannya. Bantal peluk bersarung baldu warna ungu dengan bunga-bunga tulip itu didakapnya erat.

“Zura….”

“Ya mak?”

“Tak ada kawan lagikah?”

“Ala mak ni…”

Dia terus memusatkan perhatiannya pada program raliti yang sedang disiarkan itu. Namun, kini, soalan yang dilontarkan ibunya itu telah merosakkan nafsunya. Itu soalan yang paling dibencinya. Soalan yang bukan hanya datang dari ibunya, bukan saja datang daripada sahabat handai atau rakan sepejabat, malah pokok dan rumput tumpang bertanya. Batu dan tunggul juga tak mahu ketinggalan. Burung murai menyanyi akan lagu dengan nada yang sama. Malah seluruh isi perut bumi ini juga tidak terlepas menambah duka dek kebodohan soalan yang dibencinya itu.

Perlahan-lahan jasad ibunya menyisih. Ingatannya merayau kepada perbualan di antaranya dengan Syasya beberapa hari yang silam.

“Orang lelaki hanya suka berkawan dengan wanita muda. Kita yang dah berumur ni, hmm….mereka tak nak jenguk pun.” Pandangannya dilempar jauh ke arah mesjid itu. Kemudian dia memalingkan mukanya pada Syasya. Dia ingin menilai pandangan rakanya itu. Seorang ibu tunggal, tapi lebih muda daripadanya.

“I tak fikir semua lelaki macam tu.”

“Semua sama, Syasya. Semuanya sekadar mahu gadis yang cantik, seksi, manja dan paling penting muda.” Zura menghempas rasa dendamnya pada lelaki.

“Apakah tak mungkin ada lelaki yang menghargai kematangan? Kebijaksanaan? Pengetahuan?”

“Entahlah. Tapi kalau apa yang I telah lalui ini menjadi ukuran, itu semua hanya retorik. Tak lebih dari itu.” Dia menguis-nguis roti bakar di hadapannya. Tiba-tiba hilang seleranya.

“Tuhan telah mencipta kita berpasang-pasangan. Percayalah, akhirnya nanti kita akan berjumpa pasangan yang sepadan.” Tangannya dipegang Syasya. Syasya seakan cuba memberi keyakinan kepadanya.

“Kawan? mak?” Zura tersentak dari lamunannya ketika merasai tangan ibunya mengusap bahunya.

“Haah… kawan!”

“Zura dah berumur mak. Hanya lelaki yang baik dan ikhlas saja, yang dapat membaca isi hati Zura. Yang boleh memberi apa yang Zura harapkan. Setakat yang Zura nampak, lelaki di sekeliling Zurah, hanya melihat kulit dan warna. Hanya melihat baju dan anting-anting. Mereka tak dapat membaca gerak hati Zura. Mereka tak terdaya mencecah air mata Zura.”

“Zurah tidak berusaha membuka hati Zurah untuk dibaca, untuk diselami!”

“Mak, kalau tertutup macam manapun hati Zura, seorang lelaki yang baik, yang jujur, pasti akan berjaya mencari kuncinya,” tegas Zura, seakan mahu menutup perbualan.

Malam itu, Datin Asmah merasai juga air mata Zura. Malam itu, Datin Asmah bertekat, anaknya yang satu ini, tidak akan menjadi perjudian lelaki. Walaupun Datin Asmah tahu, Zura juga bukan kepalang tanggung orangnya. Dia wanita hebat. Sehebat arwah bapanya.

Dinihari itu, suaminya yang sempat menjenguknya di dalam mimpi, memujuknya agar bangun. Anaknya yang tidur dalam pelukannya bergetar sedu melepas rasa.

Perlahan.

Sayu.

(Bersambung...)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan