Khamis, 15 Mac 2012

GALAU (sambungan 3)

Angin dari luar bas mendingin sedikit ruang dalamnya. Syed Jamaludin terus memandang keluar melalui tingkap di sebelah kirinya. Sesekali dia memandang ke hadapan, menerusi cermin bas itu.

Dunia di luar bas itu, berlalu seakan-akan filem yang menggambarkan watak-watak dalam cerita kehidupan yang nyata. Di luar, ada orang tua laki bini, yang sedang membersih sepetak tanah milik kerajaan. Selepas itu, bas itu melewati pula pekerja-pekerja kontrak yang hendak menyeberangi jalan. Entah apalah cerita mereka, Syed Jamaludin hanya mempunyai soalan. Dia tidak mahu membuat apa-apa andaian.

Jalan di hadapan sedikit berselekoh. Bas itu dipandu sedikit laju. Syed Jamaludin memerhatikan pemandu bas. Pemandu bas itu menekan-nekan brek namun tiada tindak balas. Bas terus melungsur laju.

“Brek tak makan! Brek tak makan!” pemandu bas menjerit mengatasi bunyi bising enjen bas. Bas mulai berjalan melebehi had yang sesuai.

Pemandu bas menurunkan gear ke tahap rendah. Bunyi enjen mengaum. Namun, kelajuannya masih tidak menurun. Dia menghidupkan lampu dan membunyikan hon.

Penumpang mulai bising. Bek dan kotak-kotak milik penumpang mulai bertumbangan. Bergelatak di atas lantai.

“Tarik hand brek!!”

“Brek!!” yang lain menjerit sama.

“Macam mana ni?” wanita di belakang Syed Jamaludin menyentuh bahunya sambil bertanya. Wajahnya cemas. Anak kecilnya dipeluk kuat.

Syed Jamaludin bangun dengan berpapah pada besi pemegang, lalu berpindah ke tempat duduk wanita itu. Dia menggunakan badannya yang besar tinggi itu untuk memeluk ke dua-dua ibu anak yang dalam keadaan cemas itu. “Pegang seat kuat-kuat…!” Belum pun sempat Syed Jamaludin menghabiskan kata-kata, bas itu melanggar sebuah motorsikal. Motorsikal itu terhumban dan terus menjunam ke dalam longkang. Bas itu bergegar namun tidak juga menjadi perlahan. Kotak-kota dan beg melangsar ke belakang. Penumpang-penumpang menjerit ketakutan. Jalan di depan curam dan sedikit bengkok. Bas itu masih juga tidak berhenti. Dari depan sebuah kereta cuba memotong lori kecil. Pemandu bas tidak dapat berbuat apa-apa. Dia menghayun basnya ketepi lalu merempuh kereta-kereta yang diletakkan ditepi jalan. Penumpang-penumpang tercampak kebelakang, saling timpa menimpa. Bas itu terbalik dan terseret sekitar 10 meter hinggalah terhenti apabila dilanggar lori kontena.

(Bersambung...)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan