Khamis, 8 Mac 2012

GALAU (Sambungan)

Bas itu bergerak, kemudian berhenti lagi. Bergerak lagi. Berhenti lagi.

Syed Jamaludin menarik nafasnya. Kali ini bas berhenti agak lama. Penumpang turun naik, membawa sama bau hapak dan masam, atau bau minyak wangi murahan. Baru saja bas itu bergerak, sebuah kereta Mercedes memotong lalu masuk ke laluan bas itu dengan mendadak. Bas itu diberek keras. Penumpang-penumpang terhangguk ke depan. Ada yang menjerit, ada yang melatah. Entah berapa kepala yang terhantuk tempat duduk di hadapan mereka, Syed Jamaludin tidak dapat menduga. Beberapa buah beg dan kotak milik penumpang menggelongsor ke depan. Pemandu bas, menyumpah. Patah katanya yang tidak wajar didegari orang, apatah lagi kanak-kanak, habis keluar bagai bunyi ekzos motor selepas diubah suai.

Berat sungguh bahunya memikul dugaan yang Tuhan berikan kepadanya. Sehinggakan, perjalanannya hari ini pun, dia masih harus berdepan dengan dugaan demi dugaan. Syed Jamaludin beristighfar. Perasaannya itu menggambarkan, seolah-olah dia tidak redha dengan ujian Tuhan.

Beristigfar lagi.

Dulu, dialah diantara orang yang mampu memandu kereta seperti itu. Ketika dia memandu di jalanraya, Syed Jamaludin merasakan, hanya dialah saja yang layak menggunakan jalanraya itu. Hanya dialah yang sesuai diberi kelebihan, kerana dia yang membayar cukai jalan lebih tinggi dari yang lain. Kenderaan lain seharusnya menyisih. Sesama rakan niaga, Syed Jamaludin tidak kalah. Namun bagi rakan-rakan sepejabatnya, jangankan kereta mewah seperti itu, kereta terpakai yang telah berumur pun mereka merengkek untuk mendapatkannya. Kerap kali, mereka berseloroh hendak meminjam keretanya, untuk dibawa bersantai dengan anak bini kononnya, namun, Syed Jamaludin sekadar tersenyum. Baik juga agaknya, dia tidak pernah menunjukkan sikap bongkak akan kejayaannya.

Ketika itu, rakan-rakan Syed Jamaludin berada di mana-mana. Tempat mereka berkumpul di pub-pub dan restoran berkelas tinggi. Makan malamnya bukan di restoran tomyam, jauh sekali di warong-warong kecil. Sudah tentulah Syed Jamaludin sentiasa ditemani Rina. Mereka akan duduk berbual sampai lewat malam sebelum masing-masing mengundur diri.

Perbualan Syed Jamaludin dengan rakan-rakannya tidaklah semuanya kosong. Malah dari merekalah, Syed Jamaludin banyak mendapat tips dan petunjuk tentang pergerakan saham itu dan ini. Berdasarkan maklumat merekalah, Syed Jamaludin membuat keputusan untuk membeli atau menjual saham. Syed Jamaludin sering beranggapan rakan-rakannya itulah yang membuka pintu rezeki kepadanya. Ketika itu, ada juga beberapa rakan niaganya yang mencarinya untuk mendapat sokongan kewangan, Syed Jamaludin tidak lokek untuk memberinya.

“Beb, I rasa, kita patut melabor dalam perniagaan lain, selain dari pasaran saham. Pasaran saham ni, terlalu volatile. Ada masalah di US, kita di sini pun mendapat kesannya,” salah satu rakan niaga Syed Jamaludin mencadangkan pada pertengahan tahun 1997.

You fikir begitu?”

“Haah, kita ni terlalu sangat bergantung pada pasaran saham. Sekurang-kurangnya, you ada juga mempelbagaikan potfolio pelaboran. I ni, semuanya I taruh dalam saham,” dia mencapai gelas Cognac lalu dihirupnya perlahan.

You terlalu takut, kita dah lama dalam bidang ni. Ini kepakaran kita beb. Dah bertahun kita sama-sama keluar masuk pasaran saham. Rugi dah menjadi kebiasaan kita. Setakat ini, kita masih kukuh.”

“Entahlah, you bukan tak tahu, pakar-pakar ekonomi dah mulai bercakap. Ekonomi kita ni, terlalu pantas berkembang. Mungkin dah overheating.”

“Nak masuk bidang apa lagi?” Syed Jamaludin bertanya, sambil tangannya mengusap rambut Rina. Usapannya itu dibalas oleh Rina dengan senyuman paling menawan.

Telefon bimbitnya berbunyi. Syed Jamaludin menjeling nombor yang tertera pada HPnya. Panggilan dari rumah. Dia mendengus. Sesuatu yang cukup tidak disukainya apabila ada panggilan dari rumah, walaupun buat beberapa bulan kebelakangan ini, panggilan dari rumah sudah mulai berkurangan.

“Apa hal?”

“Bang, Tisya demam. Suhu badannya tinggi!”

“Ai, bukan awak tak ada kereta, bawak sajalah budak tu kekelinik. Itupun nak harapkan saya? Ada akal, fikirlah sendiri!” Syed Jamaludin menengking isterinya. Telefonnya dipadamkan.

“Bodoh!!”

Rakannya tunduk bila mendengar Syed Jamaludin mengherdik isterinya. Rina mengusap peha Syed Jamaludin, sesekali memicit-micitnya seolah-olah memberi isyarat bahawa dia sentiasa berada di sisi Syed Jamaludin.

Selepas beberapa saat, mereka terus berbual. Membincangkan pro dan kontra pandangan rakannya itu. Akhirnya, mereka termakan juga pandangan Syed Jamaludin.

Malam itu, seperti selalunya, Syed Jamaludin tidak pulang kerumah. Dia akan menginap di pent house yang disewakannya untuk Rina. Hampir dua tiga malam seminggu, perempuan itulah yang digonggongnya ke sana ke sini. Apa yang tidak pernah diberikan kepadanya? Merengek sedikit, Syed Jamaludin pantas mengeluarkan dompet. Apa yang Rina mintak, pasti dia dapat. Emas berlian? Kereta? Malah Syed Jamaludin memberikan kad kredit kepadanya agar dia mudah berbelanja. Saban bulan, hampir dua ribu ringgit dikeluarkannya untuk menjelaskan hutang dari kad kredit itu. Namun dia tidak mengambil kisah. Pendapatannya jauh lebih besar. Kalau sekadar keperluan Rina, dua orang lagi pun dia masih terdaya untuk menanggung. Saban waktu, hidupnya seperti dalam syurga. Rina melayaninya jauh lebih baik dari isterinya sendiri. Malah kadang kala, lebih baik dari bidadari agaknya. Kadang-kadang dia terasa seperti dalam syurga. Isterinya dirumah, dipersetankannya. Syed Jamaludin beranggapan, selagi mana isterinya itu diberikan secukupnya, tanggungjawabnya sebagai suami beres. Pelajaran anak-anak, sembahyang, atau mengaji; Syed Jamaludin tidak pernah mengambil peduli. Isterinya menangis sendirian saban waktu. Syed Jamaludin sekadar melayani isterinya seadanya. Kadang-kadang tidak ubah sekadar seperti pelacur.

Itulah Syed Jamaludin. Seorang tokoh pelabor saham di KLSE, ketika pasaran saham begitu aktif, dan sedang meningkat naik. Ketika di mana, kerani kilang pun sudah pandai bermain saham secara kontra. Ketika ramai orang yang tidak lagi membuka terus ke muka halaman sukan, tetapi ke halaman indeks KLSE apabila membeli akhbar harian. Apatah lagi orang-orang sepertinya, yang tergulung dikalangan orang-orang yang telah lama bergelumang dalam dunia dan sepak terajang pasaran saham.

Sesungguhnya, pintu rezeki itu, Tuhan yang menentukannya. Kepandaian, pengalaman dan kebijaksanaan makhlukNya, tidak setanding dengan apa yang diketahuiNya. Akhirnya, Syed Jamaludin berdepan dengan dugaan Tuhan.

(Bersambung...)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan