Rabu, 7 Mac 2012

GALAU


Jam 1.30 petang. Matahari di luar cukup terik. Bahangnya terasa perit, hanya sedikit kurang apabila berada di dalam kawasan bangunan stesen bas itu. Orang ramai, bersilih ganti, mengambil tempat di beberapa buah bangku batu yang membarisi parking bay. Sesekali, bas keluar masuk samada untuk memulakan perjalanan, atau mengakhiri perjalanan. Syed Jamaludin duduk melangu di salah satu bangku batu, berkungsi dengan seorang wanita yang sedang melayani karenah anaknya. Tengahari itu, entah kenapa orang agak ramai. Dan dia di antara yang ramai itu, menanti dengan penuh harapan, agar perjalanannya sebentar lagi, tidaklah menyiksakan.

Syed Jamaludin meraba saku seluarnya. Duit itu masih sah di situ. Takut benar dia, duit itu hilang. Dia tidak mahu, walau 5 sen pun keciciran. Beberapa langkah di depannya, dia nampak akan seorang kanak-kanak sebesar anak bungsunya sedang makan roti burger. Syed Jamaludin terliur. Perutnya menjerit-jerit meminta sesuatu, walau apa-apa pun. Pantas dia melontarkan pandangannya ke arah sebuah bas yang baru masuk.

Pemandu bas keluar dari pejabatnya lalu terus menuju ke pintu bas sebelah kanan. Dia membuka pintu pemandu lalu naik. Menyedari keadaan itu, Syed Jamaludin bingkas mencapai beg galasnya dan botol air mineral yang berisi air teh tanpa gula buatan isterinya, lalu bergegas menaiki bas. Tanpa terlalu memikirkannya, dia terus mengambil tempat duduk baris kedua dari hadapan. Walaupun dia tidak menoleh ke kiri dan ke kanan, namun dia menyedari akan tampang penumpang-penumpang yang mengambil tempat duduk di kiri kanannya. Selebih dari itu, tidak dipedulikannya.

Setelah meninjau ke kiri dan ke kanan, pemandu bas itu pun menyetat enjin. Bas mulai tergigil-gigil bergerak perlahan sekalipun hanya sebahagian kecil dari jumlah tempat duduk itu dipenuhi penumpang. Setiap kali bas itu melintas jalan tidak rata, terasa besi terhentak sesama besi. Bunyi bising dalam bas, bukan hanya datang dari bunyi enjen disel yang telah entah berapa kali di overhaul, tetapi juga dari kriak, keriuk pintu dan tempat duduk yang longgar di sana sini. Sampah-sampah jajan dan puntung-puntung rokok, bersepah-sepah di merata pelusuk lantai bas. Bau diesel dan hapak silih memualkan. Syed Jamaludin mengeluh panjang.

Belum pun 10 minit berlalu, buzzer bas berbunyi. Terhenjut-henjut bas itu berhenti betul-betul di hadapan pejabat pos. Syed Jamaludin mendompang dagu, memerhatikan bangunan lama ala British itu. Satu-satunya pemandangan yang dapat menceriakan barang sedikit hatinya yang telah begitu lama resah. Sekali lagi dia menarik nafas panjang. Perjalanan ini akan mengambil masa lebih sejam.

Panas! Sistem pengdingin hawa bas itu, tidak berfungsi dengan baik. Hawa dalam bas itu agak berbahang. Lebih panas daripada cuaca ketika di stesen bas tadi. Setidak-tidaknya, di situ aliran udara cukup baik. Di dalam bas ini, kebanyakan penumpang berkipas dengan apa juga yang boleh dibuat kipas. Syed Jamaludin membuka tingkap di sebelah kirinya.

“Haiya, manyak panas. Apa pasal gua pilih ini bas, pun gua tatak tau!” apek di sebelahnya berleter. Entah siapa yang diharapkannya menjawab, Syed Jamaludin tidak tahu. Tapi dia terasa ingin menjawab.

“Tahan sajalah, tauke. Apa kita boleh buat?” balasnya. Pada kebiasaannya, apabila naik saja bas, Syed Jamaludin akan terus saja tidur. Tapi hari ini, sekalipun dia cukup mengantuk, namun mindanya tidak membenarkan dia lelap. Selain dari keadaan yang panas, ada saja perkara-perkara yang difikirkannya.

Sudah tiga bulan berlalu, keputusan tentang pertandingan menulis novel sastera Utusan DBP itu masih lagi belum dikeluarkan. Syed Jamaludin tidak terlalu mengharap, hasil kerjanya yang sulung itu akan memberikan apa-apa kepadanya. Dia yakin, sebagai orang baru dalam dunia penulisan ini, harapannya sekadar ingin menimba pengalaman. Tidak mungkin dia dapat bersaing dengan penulis-penulis besar. Jangankan mendapat tempat pertama, mendapat hadiah saguhati sekalipun, jauh panggang dari api.

Sebuah hentian bas menanti di hadapan. Pemandu bas itu mulai memperlahankan basnya. Kelihatan beberapa orang telah pun bersedia untuk menaiki bas itu. Dua tiga orang penumpang sudah pun maju ke pintu depan untuk turun. Syed Jamaludin menahan nafasnya. Hangit ketiak penumpang, yang telah terkepit entah berapa jam, menyesak hidungnya. Sebaik saja bas itu berhenti, mereka pun bergegas turun. Mana-mana yang hendak naik pula, bergegas menaikinya, mungkin takut kalau-kalau kehabisan tempat duduk. Setelah jelas, semua penumpang telahpun naik, pemandu bas itu pun memasukkan gear dan melepaskan brek tangan. Bas bergerak, perlahan-perlahan kemudian barulah mengikut tahap kelajuan biasanya. Mungkin dalam 60 atau 70km sejam.

Toot! Terasa belum pun jauh bas berjalan, buzzer berbunyi lagi.

Syed Jamaludin tersedar dari lamunannya. Beberapa orang pemuda berambut panjang bergegas mahu menuruni bas. Dalam kalangkabut mereka itu, hujung gitar kapok salah seorang daripada pemuda-pemuda itu terkena kepala Syed Jamaludin. Syed Jamaludin memandang wajah pemuda itu. Pemuda-pemuda itu membalas tajam renungannya. Pemandu bas itu mulai memperlahankan bas. Terhnjot-henjot lagi.

“Apa tengok? Sakit sangatkah?” herdik pemuda itu.

Jantung Syed Jamaludin berdegup kencang. Peluhnya yang telah pun membasahi bahagian ketiaknya, kini timbul bagai manik-manik di dahi, perlahan-lahan turun ke pipi, dagu dan lehernya. Kebiadaban pemuda itu hendak saja dibalasnya dengan tamparan. Paling tidak pun, dengan tengking atau kata nista. Syed Jamaludin bingkas berdiri. Namun, dia pantas tersedar lalu duduk kembali. Akhirnya dia sekadar membalasnya dengan beristighfar.

“Maaflah dik!”

Syed Jamaludin tunduk memandang lantai. Jantungnya terus berdebar menahan marah. Mulutnya mulai komat kamit beristighfar. Perlahan-lahan kemarahannya menurun. Pemuda-pemuda tadi memandangnya sehingga jauh. Perlakuan pemuda-pemuda itu akhirnya dianggapnya sebagai satu lagi proses pembersihan hatinya. Dan dia bersyukur, Berjaya menahan diri daripada bertindak melulu di luar batasan yang sepatutnya.

(Bersambung...)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan