Sabtu, 3 Mac 2012

Men's Bashing Day? (Bah 2 : LELAKI MELAYU TERAKHIR)

Maghrib baru berlalu. Lampu-lampu jalan di sekeliling rumah-rumah kedai di persekitaran bangunan yang menempatkan pusat membeli belah itu, terang benderang. Sesekali burung layang-layang terbang menjunam, seakan bermain dengan cahaya lampu-lampu jalan itu. Mungkin juga untuk membaham kelkatu yang sedang menghurung lampu.

Kopitiam taraf menengah itu masih lagi memberi ruang kepada pengunjung-pengunjung untuk berbual, berdiskusi dan mungkin juga berdebat tentang isu-isu yang dekat pada mereka. Musik instrumental terus berkumandang, tanpa menghirau imam mesjid berdekatan sedang mengetuai wirid.

“You perasan tak, pelayan tu? Dia asyik berdiri dekat kita sedari tadi!” Zura mencelah di tengah-tengah perbualan. Satu perbualan bertemakan lelaki-lelaki yang hanya tahu menjadi lelaki, tapi tidak tahu menjadi abang, menjadi kekasih, menjadi bapa, menjadi suami.

“Memang I perasan,” balas Syasya. Kopi latenya dihirup perlahan. “Agaknya, apa yang dia fikir? Macam dia cuba nak dengar apa yang kita bualkan,” tambahnya lagi. Secara sengaja, Aisyah bermain-main dengan anting-antingnya. Seakan mahu menarik perhatian lelaki muda itu.

“Biarlah. Bukan dia faham sangat pun! Mentah lagi!” Syasya menjeling lelaki pelayan di kedai kopitiam ‘Chawan’ itu yang dijangkanya sekadar berumur 25 atau 26 tahun. Dia memberi senyuman yang paling menawan. Pelayan itu tunduk. Mungkin sedikit malu. Sah, masih mentah lagi!

Beberapa minit kemudian, seorang lelaki memasuki kawasan kopitiam itu, lalu mengambil tempat duduk bersebelahan Syasya. “Dah lama sampai?” Dia bertanya. Tangannya dihulur kepada kedua-dua wanita moden itu.

Setelah menghirup minumannya, nampaknya dengan begitu berhati-hati sekali, dia mulai diajak berbual oleh Zura. Zura bukanlah seorang wanita yang suka membuat penghakiman kepada watak seseorang pada awal perkenalan. Sekalipun dia boleh terpengaruh akan apa yang diceritakan oleh Syasya tentang lelaki ini, namun, dia pasti cuba bersikap objektif. Apa yang Syasya nampak tidak semestinya dia juga mempunyai pespektif yang sama. Kehidupannya selama ini, telah mendedahkannya akan keberengsekan manusia bernama lelaki. Mungkin lelaki ini juga tiada bezanya dengan lelaki-lelaki lain. Bersembunyi di sebalik budi bahasa yang dibuat-buat.

Kopitiam itu mulai sesak dengan pelanggan. Pelayan tadi yang asyik berdiri berdekatan dengan mereka, mulai kerap ke belakang dan ke hadapan. Pada ketika itu, sudah pasti dia kehilangan punca untuk mendengar terus perbualan Zura, Syasya dan Zizi.

“Jadi, you tak percaya, yang hanya 10% lelaki boleh diharap?” Zura mencabar Zizi. Wajah Zizi diperhatikannya dalam-dalam. Sepertimana juga lagaknya ketika dia mencabar pengurus-pengurusnya.

Zizi sekadar ketawa. Mana mungkin dia bersetuju atau tidak, apabila julat yang diberikan itu hanya berdasarkan pengalaman dan tidak bersumberkan kajian ampirikal. Kalaulah lelaki yang di temui itu sekadar lelaki yang hidupnya berwenang dengan kelab malam, atau padang golf, atau sebagai teman-teman sosial, julat itu mungkin tepat. Tapi apakah, julat itu bersumberkan sampel yang menyeluruh, mewakili lelaki-lelaki dari kampung dan desa juga, dari kalangan kakitangan kerajaan, dari kalangan golongan sederhana, dari kalangan golongan akedemik dan agama? Tidak mungkinkah julat itu akan memberi gambaran berbeza?

Zizi terus memberikan senyuman tanpa mahu menafikan atau sebaliknya. Biarlah wanita-wanita yang baru dikenalinya itu, yakin dengan julat itu. Satu ketika nanti, zizi mungkin mendapat maklumat tertentu, untuk menyanggah atau setidak-tidaknya memberi jawapan yang tidak dipengaruhi oleh sikap defensifnya. Walaupun dia seorang lelaki, tidak semestinya dia membangkang membuta tuli.

Today is a man’s bashing day, agaknya?” Zizi bertanya. Dia menjeling juga pada Syasya, yang kelihatan padanya sedang menikmati perdebatan di antara dia dan Zura.

“Tidak berapa tepat kenyataan itu!” Zura menyangkal. Senyumnya melirik. Mencabar!

“Mmm, ‘tidak berapa tepat’ tak sama dengan ‘tidak tepat’…” sambung Zizi. Dia sekadar mahu menduga sejauh mana wanita-wanita di hadapannya mahu berdebat dengannya.

Malam itu, mereka berpisah dengan persepsi masing-masing berdasarkan pengalaman yang dilampaui; baik atau buruk, lama atau baru, dangkal atau mendalam. Biarlah malam itu, mereka lalui dengan menambah kaya, dengan pertimbangan baru.

(Bersambung...)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan